Ibu Bapa, Pelajar Syukur Terima Kurniaan Komputer Riba Daripada Permaisuri Johor

Golongan ibu bapa dan pelajar melahirkan perasaan syukur dan berterima kasih kepada DYMM Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah di atas kurniaan komputer riba.

Mereka merupakan pelajar daripada keluarga B40 yang tersenarai di dalam E-Kasih daerah Johor Bahru sebagai tanda keprihatinan Baginda Tuanku Permaisuri atas cabaran yang mereka hadapi dalam melalui sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sewaktu tempoh PKP.

Bagi Noraleya Nadirah Mohd Fadly, pelajar program Sistem Teknologi Pengurusan Pangkalan Data dan Aplikasi Web di Kolej Vokasional Perdagangan, Johor Bahru, kurniaan komputer riba itu amat memudahkan sesi pembelajaran yang dilaksanakan secara atas talian.

“Mata pelajaran saya banyak berkisar kepada rekaan program dan aplikasi, jadi memang sukar untuk mengikuti pelajaran menerusi telefon bimbit sahaja. Saya menjunjung kasih kepada Baginda Tuanku Permaisuri kerana mengurniakan kepada para pelajar seperti saya. Saya akan gunakan sebaiknya,” katanya.

Menurut Md Suhaimi Samad, bapa kepada pelajar Kolej Vokasional Perdagangan, Amirul Bakri komputer riba kurniaan Baginda Tuanku Permaisuri amat bermanfaat untuk anak-anaknya.

“Syukur Alhamdulillah, kami menjunjung kasih kepada Tuanku atas kurniaan untuk anak kami. Ia akan berguna bukan sahaja untuk di bangku sekolah, tetapi juga untuk kegunaan apabila ke universiti juga nanti In Shaa Allah,” katanya.

Penyerahan kurniaan komputer riba disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ), Encik Hishamuddin Abd Rahim.

Sehingga kini, sebanyak 105 unit komputer riba dikurniakan kepada para pelajar yang memerlukan dari 35 sekolah sekitar daerah Johor Bahru.

 27 Total Views,  1 Views Today

Komen Anda?