Hilang Kawalan Punca Pelanggaran Kapal Di Perairan Muar

𝗛𝗜𝗟𝗔𝗡𝗚 𝗞𝗔𝗪𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗣𝗨𝗡𝗖𝗔 𝗣𝗘𝗟𝗔𝗡𝗚𝗚𝗔𝗥𝗔𝗡 𝗞𝗔𝗣𝗔𝗟 𝗗𝗜 𝗣𝗘𝗥𝗔𝗜𝗥𝗔𝗡 𝗠𝗨𝗔𝗥

𝗝𝗢𝗛𝗢𝗥 𝗕𝗔𝗛𝗥𝗨, 𝟭𝟭 𝗝𝘂𝗹𝗮𝗶 – Kegagalan sistem kemudi disyaki menjadi punca berlakunya pelanggaran dua buah kapal di perairan Muar tengah malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam bin Zakaria berkata kapal MT Galapagos yang berdaftar dari Malta dilaporkan telah mengalami kegagalan sistem kemudi dan telah bergerak ke kanan sehingga menghalang laluan kapal MV Zephyr Lumos yang sedang memotong MT Galapagos itu.

MV Zephyr Lumos yang berdaftar dari Great Britain telah gagal untuk mengelak himpitan daripada MT Galapagos dan berlaku pelanggaran di sisi kanan kapal.

MV Zephyr Lumos membawa muatan kargo dalam pelayaran ke Terusan Suez dan dilaporkan telah terlanggar kapal MT Galapagos yang dalam pelayaran ke India di kedudukan 14.1 batu nautika barat daya Kuala Sungai Muar. Kru kedua-dua kapal dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Siasatan awal oleh Bot Kilat Maritim Negeri Johor ke atas kerosakan badan MT Galapagos mendapati terdapat tompokan tumpahan minyak.

Kini kedua-dua kapal terbabit ditahan bagi membantu siasatan lanjut oleh Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar.

Sumber : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

Komen Anda?