fbpx

Haziq Juara CP150, Afif Kekal Pendahulu

Perlumbaan akhir Pusingan Ke-8 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS di Litar Tangkak, Johor, berlangsung Ahad lalu.

Menyaksikan aksi kelas utama CP150 pelumba Md Haziq Md Fairues dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor muncul juara.

Maju Motor menang CP150 di Tangkak

Pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Haziq Md Fairues muncul juara di perlumbaan akhir kelas CP150 pada Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di Litar Lumba Tangkak, Johor.

Haziq menamatkan saingan dengan catatan masa 14:50.393 saat (s), mengatasi Ahmad Afif Amran (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing) yang menamatkan saingan di tempat kedua dengan masa 14:52.378s. Tempat ketiga menjadi milik juara Kangar, pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG Team, Nazirul Izzat Md Bahauddin yang menamatkan saingan dengan masa 14:52.792s.

Perlumbaan akhir kelas perdana itu berlangsung sengit dengan para pelumba sering bersilih ganti mendahului saingan.

Di awal saingan, Afif tampil pantas namun kedudukannya dipintas Izzat pada pertengahan perlumbaan. Ketika Izzat dilihat berada dalam kedudukan selesa, jentera Haziq pula dilihat semakin pantas dan dia terus bekerja keras untuk merapatkan posisi dengan kelompok pelumba hadapan.

Strateginya yang bersaing secara selamat telah membuahkan hasil dan keadaan jenteranya yang semakin stabil turut memudahkan tugasnya untuk memintas Izzat, sekali gus menguasai perlumbaan sehingga ke garis penamat.

“Terima kasih kepada seluruh krew pasukan yang telah menyediakan jentera terbaik buat saya mengharungi perlumbaan hari ini. Ini merupakan kemenangan pertama saya musim ini dan berharap momentum cemerlang ini berterusan dalam baki dua saingan lagi selepas ini,” jelas Haziq.

Dengan kemenangan tersebut, Haziq kini menghuni tempat ketiga keseluruhan dengan meraih 93 mata manakala kedudukan pendahulu masih kekal menjadi milik Afif dengan 127 mata. Pelumba pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing, Azroy Hakeem Anuar di kedudukan kedua dengan 102 mata.

Saingan Pusingan 9 kejuaraan ini akan berlangsung di Jempol, Negeri Sembilan pada 16-17 November nanti.

Komen Anda?