Harimau Malaya Menang Menentang Kemboja

SKUAD Harimau Malaya memulakan kempen Piala AFF Suzuki 2020 dengan langkah kanan selepas menewaskan Kemboja 3-1.

Harimau Malaya ‘ngap’ Kemboja

KUALA LUMPUR: Seperti dijangka, skuad Harimau Malaya tidak berdepan masalah untuk mengutip tiga mata pertama apabila ‘meratah’ Kemboja 3-1 pada aksi pembukaan Kumpulan B Piala AFF Suzuki 2020 di Stadium Bishan, sebentar tadi.

Kemenangan itu bukanlah satu kejutan kerana berdepan pasukan yang berada 16 anak tangga di belakang skuad negara, hanya kemenangan yang dituntut daripada skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu.

Namun, skuad negara selesa tidak harus selesa memandangkan ini bukanlah aksi terbaik negara terutamanya selepas beberapa kali ‘tertangkap’ dalam situasi bahaya apabila Kemboja melancarkan serangan balas pantas.

Dengan keputusan yang membolehkan barisan pemain negara membuka kempen kali ini dengan langkah kanan, mereka turut melebarkan rekod kemenangan dalam 11 perlawanan berturut turut ke atas Kemboja sejak 1971.

Percubaan berbahaya sulung Malaysia hadir menerusi Safawi Rasid pada minit keenam yang ditepis keluar Keo Soksela sebelum dia menafikan rembatan deras Guilherme de Paula pada minit ke-18.

Bagaimanapun, Soksela tidak mempunyai jawapan untuk menyelamatkan sepakan penalti Safawi pada minit ke-23 yang dihadiahkan kepada Harimau Malaya selepas Kouch Sokempheak mengasari Akhyar Rashid di dalam kotak penalti.

Malaysia cemas selepas setengah jam perlawanan apabila Kemboja menghadirkan ancaman menerusi tiga sepakan sudut berturut-turut yang nyaris menghadiahkan gol namun ditangani dengan baik oleh Khairul Fahmi Che Mat.

Gol kedua negara hadir pada minit ke-60 apabila keghairahan Kemboja menyerang dihukum dengan serangan balas pantas yang disudahkan Akhyar dengan satu rembatan leret selepas bijak ‘mempermainkan’ dua pertahanan Kemboja.

Dua pemain gantian bergandingan untuk mencipta gol ketiga apabila R Kogileswaran menyambut hantaran Luqman Hakim Shamsudin pada minit ke-79 sekali gus memastikan Malaysia terus selesa berkedudukan 3-0.

Pintu gol Malaysia akhirnya ‘diketuk’ pada minit ke-88 apabila sepakan penalti yang dihadiahkan Khairul Fahmi disempurnakan dengan baik oleh Sath Rosib untuk gol sagu hati Kemboja.

Selepas ini, skuad negara akan meneruskan pemburuan tiga mata berdepan pasukan di ranking ke-185, Laos di venue sama, Khamis ini.

Sumber : Berita Harian

Komen Anda?
%d bloggers like this: