Harapan Untuk Penyokong Bola Sepak Negara Kembali Ke Stadium

BOLA SEPAK MALAYSIA | Usaha Realisasikan Impian Penyokong

Memang diakui arena bola sepak Malaysia suram dengan beberapa kejohanan terpaksa dibatalkan dan tempoh perganjuran dipendekkan.

Paling terkesan ialah pembatalan saiangan Piala Malaysia dan lebih dirasai aksi Liga Malaysia yang berlangsung tanpa kehadiran penonton di stadium.

Situasi itu menyaksikan penaja terpaksa “angkat kaki” yang akhirnya memberi kesan kepada persatuan dan pasukan.

Penonton kembali ke stadium?

Kuala Lumpur: Ada harapan untuk penyokong bola sepak negara kembali ke stadium apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sedang giat mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan termasuk merangka standard operasi prosedur (SOP) bagi memastikan perkara terbabit terlaksana.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, kehadiran penonton ke stadium adalah antara matlamat utama yang akan ‘diperjuangkan’ bagi saingan Liga M musim depan sekali gus bakal menghidupkan kembali aura sukan nombor satu negara terbabit. 

Beliau berkata, antara SOP yang akan dibentangkan nanti adalah membabitkan jumlah penonton mengikut kapasiti stadium selain memperketatkan lagi saringan sebelum mereka dibenarkan memasuki venue. 

“Sememangnya tanpa kehadiran penonton ke stadium menyebabkan saingan Liga M tampak suram lebih lagi akan menjejaskan penajaan pasukan berikutan ketiadaan orang ramai di venue. 

“Pada peringkat permulaan, kita hanya membenarkan jumlah tertentu sahaja memasuki stadium dan mungkin akan bertambah secara berperingkat jika situasi pandemik Covid-19 di negara lebih terkawal. 

“Selain itu, golongan berisiko seperti kanak-kanak dan warga emas sudah tentu tidak dibenarkan memasuki stadium,” katanya. 

Terdahulu, Arena Metro melaporkan saingan Liga M bakal berdepan krisis terbesar dalam sejarah penganjurannya apabila dijangka berdepan risiko muflis seandainya penyokong bola sepak tempatan masih tidak dibenarkan ke stadium musim depan. 

Jangkaan itu hadir susulan kebergantungan kewangan setiap pasukan Liga M adalah dari hasil kutipan tiket penonton selain wang tajaan yang diterima daripada syarikat-syarikat swasta serta badan bukan kerajaan. 

Menurut pakar akademik dari Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa, hampir RM100 juta kerugian secara keseluruhan bakal ditanggung oleh 24 buah pasukan Liga-M iaitu dari Liga Super dan Liga Perdana yang boleh mengheret mereka ke kancah bankrap. 

Katanya, jualan tiket perlawanan adalah elemen terpenting dalam ekosistem bola sepak di Malaysia memandangkan hasil daripada hak penyiaran dan wang kemenangan tidak semewah liga di luar negara. 

Lantas, hasil kutipan tiket sememangnya penting bagi memastikan industri bola sepak terus hidup dan bernyawa di kala negara ketika ini sedang berdepan ketidaktentuan ekonomi disebabkan oleh pandemik Covid-19.

PENYOKONG SEDIA PATUHI APA JUA SYARAT

Penyokong-penyokong pasukan Liga Malaysia mengharapkan musim 2021 akan menamatkan detik penantian buat mereka untuk dibenarkan kembali menonton perlawanan di stadium serta sedia mematuhi apa jua syarat yang bakal dikenakan terutama melibatkan Prosedur Operasi Standard (SOP).

Walaupun tahu penularan pandemik COVID-19 masih belum berakhir, mereka melihat perkara itu boleh ditangani jika semua pihak menunjukkan sikap kepatuhan SOP yang tinggi bagi memastikan agar semua venue perlawanan di Liga Malaysia kembali meriah dengan kehadiran penyokong.

Menurut salah seorang penyokong Pahang, Khairul Hafez Zainudin, dia berasakan sudah sampai masanya penyokong dibenarkan ke stadium namun dalam kuantiti yang kecil dan terkawal.

Tambahnya, dia tidak merasakan sebarang kesukaran buat penyokong mengikuti SOP yang akan ditetapkan kerana perkara yang sama turut dikenakan ke mana sahaja mereka pergi di negara ini.

“Sudah sekian lama kami tidak dibenarkan ke stadium dan bagi musim depan, saya rasa mungkin boleh cuba bagi ruang dahulu kepada penonton kerana semua sudah tahu apa itu SOP tiap kali ke premis atau tempat tertentu.

“Jika pematuhan SOP agak ketat sekali pun seperti tidak boleh raikan kejayaan pasukan dengan penonton yang lain sebagai contoh atau membuat kumpulan sorak, saya rasa kami semua mampu ikuti tanpa sebarang masalah.

“Lagipun, kawalan untuk penonton di stadium agak mudah berbanding tempat lain kerana kemasukan boleh ditentukan dengan penjualan tiket dan daripada situ, penjarakan sosial dalam kalangan penonton boleh dilakukan di tempat duduk,“ katanya.

Sementara itu, Clay Davis Jainal yang merupakan penyokong Sabah, berharap bagi permulaan, jumlah peratusan kemasukan peminat ke stadium boleh dirujuk kepada jumlah kes COVID-19 di negeri masing-masing dengan angka kehadiran penonton yang tinggi boleh dibenarkan kepada negeri yang berada di zon hijau.

Ujarnya lagi, kehadiran penyokong bukan sahaja penting sebagai pemain ke-12 kepada pasukan tetapi mampu menjadi daya penarik kepada penaja untuk terus bersama pasukan yang bertanding di Liga Malaysia.

“Bagi menghidupkan kembali Liga Malaysia pada musim baharu ini, saya rasa sudah tentu langkah pertimbangkan kehadiran penonton perlu dinilai oleh semua.

“Langkah membenarkan penyokong boleh dinilai berdasarkan kes di negeri-negeri yang saya rasakan jika venue perlawanan itu di zon hijau, mungkin jumlah dalam dua puluh ke tiga puluh peratus daripada kapasiti stadium.

“Bagi zon yang lain seperti kuning atau merah, mungkin peratus yang lebih rendah memandangkan kes masih tinggi dan langkah keselamatan perlu ada, cuma saya rasa tidak ada halangan penonton untuk masuk ke dalam stadium asalkan mematuhi SOP.

“Semua pihak perlu sedar industri bola sepak di negara ini banyak bergantung kepada kehadiran penyokong bagi menyuntik keyakinan penaja bagi bersama pasukan-pasukan di Liga Malaysia, ” katanya.

Manakala Zuli Kasim, punyai pandangan sedikit berbeza dengan berasakan kemasukan penonton 40 peratus daripada kapasiti stadium boleh dibenarkan dan boleh dinaikkan sedikit demi sedikit berdasarkan kes terkini penularan wabak COVID-19 di keseluruhan negara.

Jelasnya yang merupakan penyokong Perak, dalam pada masa sama, Malaysian Football League (MFL) juga perlu bersama-sama mengharapkan penyokong dapat memenuhi SOP jika mendapat lampu hijau memasuki stadium.

“Setiap stadium pasukan bertanding punyai berbeza kapasiti dan cara terbaik adalah pihak MFL sendiri yang tentukan peratus kedatangan penonton di stadium dan mungkin boleh mula dengan 40 peratus sebelum dinaikkan sedikit demi sedikit seperti lima ke enam peratus selepas dua bulan jika kes semakin menurun.

“MFL mungkin boleh tekankan pada setiap pasukan yang bertanding untuk meletakkan steward atau penambahan penguatkuasa bagi mengawal disiplin penonton daripada semua segi,“ katanya.

LigaMalaysia2021

Penyokong adalah nadi bola sepak. Kami berharap untuk mendengar kembali suara sorakan peminat Merah Biru di stadium suatu hari kelak.

Bersama kita melawan COVID-19 dengan mematuhi segala arahan & SOP. 💪

 24 Total Views,  1 Views Today

Komen Anda?