Gol Tunggal Baddrol Bakhtiar Berjaya Memberikan Kemenangan Buat Sabah Fc

Laluan Sabah FC ke separuh akhir Piala Malaysia kian terbuka selepas mengatasi Kuching City FC 1-0 (KCFC) pada aksi suku akhir pertama di Stadium Negeri, sebentar tadi.

Bekalan satu gol yang dicetak anak buah Datuk Ong Kim Swee pada ‘Derbi Borneo’ itu menjadi pemisah paling ketara antara kedua-dua pasukan menjelang aksi suku akhir kedua di Stadium Likas, Jumaat ini.

Pada aksi terbabit, KCFC tampak lebih selesa apabila terlebih dahulu mendapat rentak dan menguji menerusi beberapa situasi bola mati dengan peluang terbaik mereka hadir pada minit kesembilan menerusi percubaan ‘placing’ Alif Hassan yang ditepis Damien Lim.

Pelawat membalas menerusi percubaan jarak jauh Taiki Kagayama yang dibaca Shaiful Wazizi Mohammad pada minit ke-11 disusuli percubaan Irfan Fazail yang melambung tinggi seminit berselang.

Sepakan sudut Baddrol Bakhtiar (m27) hampir menggegar jaring KCFC namun Shaiful berjaya mengawal keadaan sebelum Azhad Harraz Arman terlepas peluang membuka jaringan pada minit ke-34 apabila tampanannya di depan gol ‘melilau’.

Bersambung babak kedua, Damien sekali lagi bertindak cemerlang memastikan gawang mereka tidak dibolosi apabila menyelamatkan percubaan tepat Shafizi Iqmal Md Khirudin pada minit ke-58.

Kekentalan Shaiful ‘berakhir’ pada minit ke-68 selepas dia tumpas dengan penyudah Baddrol Bakhtiar meskipun penjaga gol berusia 24 tahun itu berjaya menyelamatkan percubaan awal Farhan Roslan sebelum itu.

Baddrol Bakhtiar memecahkan kebuntuan di Stadium Negeri!

Beberapa percubaan yang dilakukan KCFC tidak cukup untuk menggugat gawang Damien sekali gus menyaksikan Sabah FC menoktahkan perlawanan dengan kemenangan tipis 1-0.

Sumber : Berita Harian

TMPialaMalaysia2022

#LuaskanKuasamuJohor

PERHATIAN:- Pihak kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yg diberikan oIeh pembaca kami. Komen itu adalah menjadi tanggungjawab pemilik akaun Facebook tersebut.

Ikuti juga artikel menarik yang kami kongsikan di bawah ini.

Komen Anda?