Gangguan Bekalan Air Akibat Amonia Di Muar

INFO GANGGUAN BEKALAN AIR TIDAK TERANCANG DI DAERAH MUAR.

Kira-kira 35,000 isi rumah terjejas oleh gangguan bekalan air akibat amonia di Muar

JOHOR BAHRU: Bekalan air kepada 35,000 isi rumah di daerah Muar mengalami gangguan selepas paras amonia yang tinggi dikesan di Sungai Muar.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse, berkata Badan Kawal Selia Air Negeri Johor (BAKAJ) dan Ranhill SAJ, akan mengadakan mesyuarat tengah hari ini untuk berbincang bagi memulihkan sepenuh dan pembekalan semula ke kawasan yang terjejas.

“Maklumat terkini akan disalurkan selepas mesyuarat tengah hari ini. Pada masa sekarang, keadaan adalah stabil.

“Saya berharap semua pengguna dapat bersabar dengan keadaan sekarang dan kami masih bekerja sepenuh masa untuk memastikan pemulihan sepenuhnya (bekalan) air di kawasan terjejas,” katanya kepada BERNAMA menerusi WhatsApp pagi ini.

Kerajaan Johor masih menyiasat punca pencemaran air yang dikesan semalam.

Ranhill SAJ berkata, bekalan air dari loji rawatan air Panchor 3 berkurangan 20 peratus akibat penurunan kualiti air mentah dari Sungai Muar.

“Siasatan menunjukkan bahawa paras amonia lebih 2.5 ppm hingga menjejaskan operasi loji rawatan air Panchor 3 kerana ia tidak boleh beroperasi di tahap maksimum,” kata pengendali khidmat air itu dalam laman webnya malam tadi.

Antara kawasan terjejas oleh kekurangan bekalan air ialah Pekan Bakri, Kampung Baru Bakri, Parit Haji Zin, Parit Haji Nor, kawasan perindustrian Bakri serta Jalan Air Hitam. – BERNAMA

Sumber : Berita Harian

INFO GANGGUAN BEKALAN AIR TIDAK TERANCANG DI DAERAH MUAR

GANGGUAN BEKALAN AIR BERLAKU EKORAN KEMEROSOTAN KUALITI AIR MENTAH DI SUNGAI MUAR

Pasukan Ranhill SAJ giat pulih bekalan air di Muar

MUAR: Syarikat penyedia bekalan air Johor, Ranhill SAJ sedang giat memulihkan bekalan air bagi penduduk di sekitar daerah ini apabila berlaku kemerosotan kualiti air mentah di Sungai Muar sejak petang semalam.

Tinjauan BH di beberapa loji pengambilan air mentah di sungai itu mendapati beberapa kakitangan Ranhill SAJ giat mengambil sampel air di sungai terbabit yang dikesan mengandungi bacaan amonia yang tinggi.

Difahamkan pemeriksaan juga dilakukan di sepanjang sungai terbabit bagi mengesan punca sebenar bahan kimia terbabit berada dalam sumber air mentah penduduk.

BH difahamkan satu pasukan Ranhill SAJ yang turut terdiri daripada pakar kimia dan pakar kualiti air dari ibu pejabat kini giat memantau keadaan pencemaran itu di Loji Rawatan Air (LRA) Panchor 3 yang mempunyai kemudahan makmal dan pejabat yang lengkap.

Bagaimanapun usaha BH untuk mendapatkan kenyataan itu tidak berhasil berikutan kesibukan mereka dalam memantau perkembangan pencemaran terbabit, selain hanya pihak Unit Komunikasi Korporat Ranhill SAJ di Johor Bahru saja yang boleh memberikan kenyataan termasuk perkembangan semasa kejadian berkenaan.

Sementara itu, sumber lain memberitahu setakat ini punca pencemaran ammonia itu bukan berpunca dari Muar, sebaliknya dari daerah lain yang masih belum dikenal pasti.

Untuk rekod, Sungai Muar yang sepanjang kira-kira 285 kilometer bermula dari muaranya di Bandar Muar, manakala bahagian hulunya terletak di Tasik Talang, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Ranhill SAJ dalam satu kenyataan berkata, bekalan air dari loji rawatan air Panchor 3 berkurangan 20 peratus akibat penurunan kualiti air mentah dari Sungai Muar.

Siasatan Ranhill SAJ menunjukkan bahawa paras amonia lebih 2.5 ppm hingga menjejaskan operasi loji rawatan air Panchor 3 berikutan ia tidak boleh beroperasi pada tahap maksimum.

Antara kawasan terjejas oleh akibat kejadian itu ialah Pekan Bakri, Kampung Baru Bakri, Parit Haji Zin, Parit Haji Nor, kawasan perindustrian Bakri serta Jalan Air Hitam, sekali gus menjejaskan kira-kira 35,000 pengguna di daerah berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse, berkata pihak Badan Kawal Selia Air Negeri Johor (BAKAJ) dan Ranhill SAJ akan mengadakan mesyuarat hari ini untuk berbincang bagi memulihkan sepenuh dan pembekalan semula ke kawasan yang terjejas.

Katanya, maklumat terkini akan disalurkan selepas mesyuarat dilaksanakan dan situasi terkini masih dalam keadaan stabil.

Sumber : Berita Harian

Komen Anda?