DYAM Tunku Mahkota Johor Berangkat Ke Pesta Chingay Johor 2019, Festival Perarakan Chingay Meriah

Festival Perarakan Chingay meriah
FESTIVAL Perarakan Chingay 2019 berlangsung meriah apabila lebih 200,000 pengunjung membanjiri pusat Bandaraya Johor Bahru bagi menyaksikan perarakan sejauh lapan kilometer, malam tadi.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan mencemar duli mewakili Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menyempurnakan majlis perasmian perarakan di Jalan Wong Ah Fook itu.

Tunku Ismail tiba di pentas utama di hadapan pusat beli-belah Komtar JBCC pada 9.10 malam.

Turut hadir, wakil rasmi Duta Besar China ke Malaysia, Chen Chen; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung.

Tunku Ismail berkenan meluangkan masa lebih satu jam menyaksikan perarakan kereta berhias dan pelbagai persembahan tarian singa.

Pengunjung termasuk pelancong warga asing mula membanjiri bandar raya ini sejak jam 4 petang bagi menyaksikan perarakan tahunan kalendar pelancongan negeri itu.

Perarakan membabitkan beberapa patung tokong dan kereta berhias berarak dari Kuil Kuno di Jalan Trus hingga ke Kuil Xing Hong di Jalan Ulu Air Molek.

Orang ramai turut dihiburkan dengan pelbagai tarian tradisional dan kebudayaan masyarakat Tionghua serta persembahan nyanyian, alat muzik, tarian singa dan pertunjukan bunga api.

Presiden Persekutuan Tiong Hua Johor Bahru, Datuk Seri Tey Kim Chai berkata, acara perarakan Chingay ini adalah satu acara agama dan budaya tradisi Tiong Hua yang berlangsung di Johor Bahru sejak 1870.

“Perayaan ini membolehkan masyarakat Tiong Hua mempamerkan kebebasan agama dan kebudayaan kaum mereka tersendiri.

“Ia dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat Johor Bahru dan masyarakat Tiong Hua.

“Kami berbangga kerana ia adalah antara satu kebudayaan yang terpelihara di negara ini dan tidak dapat ditandingi negara lain di Asia Tenggara,” katanya.

Sumber : Harian Metro

DYAM TUNKU MAHKOTA JOHOR BERANGKAT KE PESTA CHINGAY JOHOR 2019

DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor berangkat ke Pesta Chingay Johor pada hari ini, 25hb Februari 2019 yang diadakan hadapan Johor Bahru City Centre (JBCC). Jelas sekali, sambutan seperti ini mencerminkan semangat kemuafakatan Bangsa Johor dan juga keprihatinan Keluarga Diraja bersama rakyat jelata yang berbilang kaum. Allah Peliharakan Sultan.

RIBUAN RAKYAT, PELANCONG ASING BERKUMPUL UNTUK SAKSIKAN FESTIVAL PERARAKAN CHINGAY 2019

Ribuan rakyat termasuk pelancong asing membanjiri Jalan Wong Ah Fook, Johor Bahru sejak petang tadi bagi menyaksikan Festival Perarakan Chingay 2019.

Perarakan Chingay adalah acara tahunan unik masyarakat Tiong Hua Johor Bahru yang terdiri daripada lima suku kaum utama – Hainan, Kantonis, Teochew, Hokkien dan Hakka.

Ia telah diadakan sejak lebih 140 tahun dahulu dan pengisiannya tidak pernah berubah sepanjang laluan 7.8 kilometer.

Festival Perarakan Chingay pada kali ini akan dirasmikan oleh DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim sebagai wakil rasmi DYMM Sultan Johor.

TUNKU MAHKOTA JOHOR BERKENAN RASMI FESTIVAL PERARAKAN CHINGAY 2019

DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim berkenan berangkat merasmikan dan menyaksikan Festival Perarakan Chingay 2019 di Jalan Wong Ah Fook Johor Bahru hari ini (25 Februari)..

Baginda berangkat sebagai wakil rasmi DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan tiba pada pukul 9.00 malam..

Video:-

Komen Anda?