Dulu Para Bapa Diberikan Cuti Sebulan, Kini Cuti Bersalin Untuk Para Ibu Adalah 6 Bulan (CIMB)

CIMB Group Holdings Berhad menawarkan cuti bersalin bergaji selama enam bulan kepada pekerjanya yang melahirkan anak pertama bermula tahun ini.

KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Bhd (CIMB) mengumumkan faedah cuti bersalin selama enam bulan bergaji bagi kakitangan yang pertama kali bergelar ibu.

Ia berkuat kuasa pada 1 Januari lalu untuk semua pekerja CIMB di Malaysia.

Faedah berkenaan adalah tambahan kepada cuti selama sebulan yang diberikan untuk kakitangan CIMB yang pertama kali menjadi bapa.

Ketua Pegawai Kakitangan Kumpulan CIMB, Datuk Hamidah Naziadin berkata, tempoh cuti berkenaan boleh diambil kira-kira 30 hari sebelum tarikh jangkaan bersalin.

“Mereka yang pertama kali bergelar ibu boleh menikmati faedah ini 30 hari sebelum tarikh jangkaan bersalin. Malah, ia boleh dilanjutkan dengan mengambil cuti tanpa gaji selama enam bulan yang turut ditawarkan kepada kakitangan bagi membolehkan mereka menjaga anak sulung sehingga berusia setahun,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, faedah yang ditawarkan ini adalah sebahagian daripada pendekatan holistik Kumpulan dalam menguruskan modal insan.

“Kami percaya setiap individu mempunyai keperluan berbeza dalam setiap fasa kehidupan mereka. Kami juga percaya faedah yang diberikan dapat memupuk budaya keibubapaan tanpa perlu meninggalkan kerjaya sedia ada.

“Malah, kami juga meneroka kemungkinan melanjutkan manfaat ini kepada semua kakitangan di seluruh kumpulan,” katanya.

Selain manfaat cuti bersalin bergaji, CIMB turut menjalankan inisiatif lain dalam menyokong keperluan keluarga kakitangannya termasuk memberi kelonggaran kakitangan yang mempunyai anak berusia kurang lima tahun atau berkeperluan khas untuk bekerja dari rumah sehari dalam seminggu. Sumber : Bharian Online

Berita Sebelum Ini Pada 2017

CIMB Bank Bhd memperkenalkan cuti paterniti berbayar selama sebulan kepada warga kerjanya bagi membolehkan golongan bapa meluangkan lebih banyak masa bersama anak pertama mereka dan berkongsi tanggungjawab dalam menyambut kelahiran baharu.

7 Julai 2017 | 13 Syawwal 1438

“GLC & SYARIKAT SWASTA WAJAR MENCONTOHI CIMB

1. Pengenalan cuti bersalin (paternity leave) selama sebulan bergaji oleh CIMB kepada para suami yang menerima kelahiran pertama menjadi usaha menyumbang kepada kesejahteraan dan kualiti hidup. Ia langkah yang wajar dicontohi GLC dan syarikat swasta lain dalam mengukuhkan lagi institusi keluarga dalam negara.

2. Pemberian cuti sedemikian wajar agar suami sendiri dapat memberi tumpuan kepada isteri dan anak, selain mengurangkan ‘penswastaan’ penjagaan. Ia menjadi ‘pengalaman pertama’ terpenting sekali gus menjadi perspektif dan penanda aras hala tuju serta pembawaan kelangsungan keluarga bahagia yang menjadi fitrah manusia.

3. Apatah lagi dalam tempoh tersebut selalunya perlu menjalani beberapa disiplin dan rutin selain rujukan pemeriksaan perubatan berkaitan. Ia masa berkualiti yang sukar dibeli dan menjadi pengikat kasing sayang pasangan serta menceriakan keluarga. Kelak semua ini menumbuhkan masyarakat madani yang diimpikan.

4. Oleh itu, tujuan pembentukan keluarga yang antaranya menekankan kehadiran sakinah, mawaddah dan rahmah akan tercapai dari inisiatif, insentif dan keprihatinan seperti dilaksanakan CIMB. Lebih lagi di era ini yang mencatatkan statistik tinggi perceraian, kes seperti rempit, dadah, kelahiran luar nikah dan sebagainya.

Komen Anda?