Diserang Dengan Parang Ketika Berubat

KLUANG – Hasrat sepasang suami isteri yang hendak melakukan rawatan tradisonal di Taman Kiara Mas 2, di sini, awal pagi tadi bertukar tragedi apabila dia diserang menggunakan parang oleh perawat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pgi itu, suami mangsa, 47, bersama isterinya, 41, datang ke rumah suspek untuk melakukan rawatan isterinya yang dikatakan mengalami penyakit misteri.

“Hasil siasatan awal, suspek yang berumur 25 tahun dan bekerja sebagai kerani di sebuah institusi kewangan di daerah ini dikatakan merupakan adik angkat kepada mangsa dan sering datang ke rumah suspek untuk mendapatkan rawatan.

“Suspek datang seorang diri ke rumah mangsa dan kemudian suspek bersama mangsa dan suaminya telah masuk ke dalam bilik untuk berubat, namun secara tiba-tiba suspek seperti dirasuk dan mencederakan suami mangsa menggunakan parang,” katanya.

Menurutnya, isteri mangsa yang cuba meleraikan kejadian tersebut turut dicederakan oleh suspek dan sewaktu pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah yang tiba di tempat kejadian, suspek masih berada di dalam bilik tersebut.

Katanya, polis juga cuba untuk memanggil suspek namun suspek tidak memberi sebarang maklum balas sebelum pasukan tangkapan bertindak untuk memecahkan pintu bilik dan menjumpai suspek dalam keadaan terlentang.

“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek telah meninggal dunia akibat membunuh diri berdasarkan kesan tikaman di dada serta perut dan turut dijumpai di lokasi kejadian adaah sebilah keris panjang di belakang badan suspek.

“Mayat suspek kemudian dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) Kluang untuk melakukan bedah siasat bagi menentukan punca kematian dan semakan rekod jenayah lampau mangsa, suami mangsa dan suspek mendapati tiada sebarang rekod jenayah,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 307 serta Seksyen 309 Kanun Keseksaan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian tersebut untuk tampil membantu siasatan.

Sumber : Community Roda Johor

Komen Anda?