Datuk Hamidin Bincang Hala Tuju Bola Sepak Negara Dengan YB Senator Dato’ Sri Tengku Zafrul

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, membincangkan hala tuju bola sepak negara dengan Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz, di Kementerian Kewangan, Putrajaya semalam.

Dalam kunjungan hormat itu, Datuk Haji Hamidin mengambil kesempatan memberi taklimat kepada Tengku Zafrul keadaan semasa serta cabaran bola sepak menangani krisis dan implikasi kewangan gara-gara penularan wabak COVID-19 selain perancangan FAM dan Malaysian Football League (MFL) menghadapi musim 2021.

Sambil mengucapkan penghargaan dan terima kasih bagi pihak FAM dan MFL kepada Kerajaan Persekutuan atas segala sokongan, Datuk Haji Hamidin menekankan bahawa sokongan semua agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan cukup penting dalam memastikan kelangsungan industri bola sepak negara.

“Dalam menguruskan bola sepak masa kini yang menggabungkan ciri-ciri hiburan dengan nilai komersial, ia menuntut bukan sahaja sokongan dari sudut moral tetapi juga material agar FAM kekal berdaya saing di pentas antarabangsa,” kata Datuk Haji Hamidin.

Datuk Haji Hamidin juga berharap agar pihak Kementerian Kewangan menyokong mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menjadi rakan penaja kepada FAM dan juga MFL sebagai iltizam dan tanda sokongan Kerajaan Persekutuan kepada sukan nombor satu negara.

“Industri bola sepak tempatan yang menanggung kerugian gara-gara impak penularan wabak COVID-19 harus bangkit dengan bantuan semua pemegang taruh, terutama Kerajaan Persekutuan.

“Besarlah harapan kami andainya pihak Kerajaan membantu bukan sahaja dari segi membenarkan penonton kembali memeriahkan suasana liga tetapi juga dari sudut menghidupkan industri bola sepak secara keseluruhan, termasuk industri hiliran” kata Datuk Haji Hamidin.

Turut hadir Setiausaha Bahagian Perolehan Kementerian Kewangan, Dato’ Zamzuri Aziz, Setiausaha Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan, Datin Rashidah Mohd Sies dan Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Kewangan, Mohd Fahmi Mohd Mokhtar.

Tengku Zafrul

Saya juga telah menerima kunjungan dari Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini untuk berbincang mengenai cabaran dan langkah-langkah kehadapan industri bola sepak Malaysia, dalam menghadapi wabak COVID-19. Saya ucapkan terima kasih kepada Datuk Hj Hamidin Hj Mohd Amin dan delagasi atas kunjungan ke MOF.

Photo by Tengku Zafrul
Photo by Tengku Zafrul
Komen Anda?