Datuk Haji Hamidin Ucap Selamat Maju Jaya Kepada Rajagobal

Bekas pengendali skuad kebangsaan Datuk K Rajagobal hari ini mengambil kesempatan untuk bertemu dengan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin sebelum berlepas ke Brunei.

Dalam pertemuan ringkas yang cukup bermakna itu, Datuk Haji Hamidin mengucapkan selamat maju jaya kepada Rajagobal yang menerima tawaran berhijrah ke Bandar Sri Begawan dengan kontrak dua tahun berkuat kuasa Januari 2021.

Ia adalah kemunculan semula Rajagobal, 64, di pentas antarabangsa dalam tempoh tujuh tahun selepas membimbing skuad Harimau Malaya bermula 2009 sehingga 2013.

Selain mengambil kesempatan membincangkan mengenai senario bola sepak negara, Rajagobal turut berkongsi misi dan visinya di Brunei nanti.

Sambil menyatakan rasa bangga terhadap pelantikan Rajagobal yang membuktikan kebolehpasaran bakat tempatan, Datuk Haji Hamidin menggesa pengendali lain mencontohi keberanian bekas jurulatih Selangor, PKNS, Sarawak dan Harimau Muda itu untuk mencuba nasib di luar negara, sekali gus menaikkan nama Malaysia.

“FAM menyokong jurulatih tempatan memberanikan diri mengambil peluang dan risiko menyumbang khidmat di luar negara kerana itu adalah ujian sebenar kemampuan mengurus dan membimbing pasukan,” kata Datuk Haji Hamidin.

Rajagobal atau lebih dikenali sebagai ‘King Gobal’ yang membawa Malaysia muncul juara Piala AFF buat julung kali pada 2010 selepas mengutip pingat emas di Sukan SEA Laos pada 2009, berkata tawaran itu satu penghormatan bagi dirinya.

Komen Anda?