Datuk Haji Hamidin Terima Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Yang Kedua (DMIJ) Daripada Sultan Ibrahim

Datuk Haji Hamidin Terima Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Yang Kedua (DMIJ) Daripada Sultan Ibrahim

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji iHamidin Haji Mohd Amin, dianugerahkan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Yang Kedua (DMIJ) yang membawa gelaran Datuk. daripada DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, hari ini.

Datuk Haji Hamidin yang menerajui FAM sejak Julai 2018, adalah antara tiga individu yang menerima darjah kebesaran masing-masing pada Majlis Kurniaan Darjah di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene.

Datuk Haji Hamidin mengucapkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT dan menjunjung kasih ke atas DYMM Sultan Ibrahim atas pengurniaan DMIJ yang disifatkan sebagai pengiktirafan tinggi untuk pentadbir sukan, khususnya bagi bola sepak.

“Saya menjunjung kasih ke atas DYMM Tuanku Sultan Ibrahim yang berkenan mengurniakan DMIJ kepada saya hari ini. Ini adalah satu penghormatan bukan sahaja untuk tetapi saya, tetapi juga untuk FAM dan semua keluarga bola sepak tempatan.

“Anugerah ini semestinya memberi dorongan kepada saya untuk terus berusaha keras memartabatkan bola sepak negara ke tahap lebih tinggi, dengan sokongan rakan-rakan di FAM dan pemegang taruh serta agensi kerajaan,” katanya.

Datuk Haji Hamidin, 54, menerima anugerah darjah kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, September lalu.

Beliau juga sebelum ini dianugerahkan kebesaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’ daripada Sultan Pahang, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah pada 2009.

Datuk Haji Hamidin kemudian menerima anugerah darjah kebesaran Darjah Sharafuddin Idris Shah (DSIS) daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 2012. Datuk Haji Hamidin juga menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dari Selangor pada 1999 dan Ahli Mahkota Selangor (AMS) pada 2002.

Datuk Haji Hamidin yang memulakan kerjayanya dalam pentadbiran dan pengurusan bola sepak selaku Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pada 1995, adalah presiden profesional pertama FAM yang juga presiden pertama bukan golongan ahli politik mahupun kerabat diraja sejak Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj menjadi presiden FAM pada 1951.

Selepas dilantik sebagai Setiausaha Agung FAS pada 1998, Datuk Haji Hamidin berkhidmat dalam pelbagai kapasiti di FAM, termasuk sebagai ahli jawatankuasa pertandingan, pengurus futsal dan pengurus pasukan bola sepak kebangsaan dan naib presiden sebelum diangkat menjadi Setiausaha Agung FAM pada 2013.

Datuk Haji Hamidin dipilih selaku Presiden FAM menggantikan Tunku Mahkota Johor pada Julai 2018.

Sumber : FAM

“Daulat Tuanku”

Facebook Comments