Datuk Haji Hamidin Terima Darjah Cemerlang Seri Melaka (D.C.S.M)

Datuk Haji Hamidin Terima Darjah Cemerlang Seri Melaka (D.C.S.M)

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, dianugerahkan Darjah Cemerlang Seri Melaka (D.C.S.M) yang membawa gelaran Datuk Wira sempena hari jadi ke -71 Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Melaka hari ini.

Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr) Haji Mohd Ali Mohd Rustam berkenan mengurniakan kepada Datuk Haji Hamidin DCSM dalam Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka di Balai Istiadat, Seri Negeri, di Ayer Keroh.

Datuk Haji Hamidin yang menerajui FAM sejak Julai 2018, adalah antara 210 individu yang menerima DCSM.

Sambil mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT dan terima kasih kepada Tun Seri Setia (Dr) Haji Mohd Ali atas penganugerahan itu, Datuk Haji Hamidin menyifatkannya sebagai satu pengiktirafan buat pentadbir sukan, khususnya dalam kalangan penggiat bola sepak.

Photo by FAM

“Terima kasih saya ucapkan buat Tun Seri Setia (Dr) Haji Mohd Ali yang berkenaan mengurniakan DCSM sempena Hari Jadi beliau ke -71, semoga beliau dipanjangkan umur dan dipermudahkan segala urusan dalam mentadbir negeri Melaka.

“Saya menganggap kurniaan sebagai satu penghormatan bukan sahaja untuk saya, tetapi juga untuk FAM serta semua keluarga bola sepak tempatan.

“Anugerah ini semestinya memberi dorongan kepada saya untuk terus berusaha keras memartabatkan bola sepak negara ke prestasi lebih tinggi dan disegani, dengan sokongan rakan-rakan di FAM dan pemegang taruh serta agensi kerajaan,” katanya.

Sebelum ini, Datuk Haji Hamidin, 54, menerima anugerah darjah kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, September 2019.

Pada Januari lalu, Datuk Haji Hamidin dianugerahkan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Yang Kedua (DMIJ) yang membawa gelaran Datuk daripada DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Photo by FAM

Beliau juga sebelum ini dianugerahkan kebesaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’ daripada Sultan Pahang, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah pada 2009.

Datuk Haji Hamidin kemudian menerima anugerah darjah kebesaran Darjah Sharafuddin Idris Shah (DSIS) daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 2012. Datuk Haji Hamidin juga menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dari Selangor pada 1999 dan Ahli Mahkota Selangor (AMS) pada 2002.

Datuk Haji Hamidin yang memulakan kerjayanya dalam pentadbiran dan pengurusan bola sepak selaku Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pada 1995, adalah presiden profesional pertama FAM yang juga presiden pertama yang bukan dalam kalangan ahli politik mahupun kerabat diraja sejak Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj menjadi presiden FAM pada 1951.

Selepas dilantik sebagai Setiausaha Agung FAS pada 1998, Datuk Haji Hamidin berkhidmat dalam pelbagai kapasiti di FAM, termasuk sebagai ahli jawatankuasa pertandingan, pengurus futsal dan pengurus pasukan bola sepak kebangsaan dan naib presiden sebelum dilantik menjadi Setiausaha Agung FAM pada 2013.

Datuk Haji Hamidin dipilih selaku Presiden FAM menggantikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Julai 2018.

Sumber : Football Association Of Malaysia