Bulan Syawal Jadi Penyamun, APMM Tahan 2 Orang

BULAN SYAWAL JADI PENYAMUN

KOTA TINGGI, 16 Jun – Maritim Malaysia, Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) telah menahan sebuah bot kayu mempunyai nombor pendaftaran yang lazimnya dikenali sebagai ‘Lima Sore’ awal pagi tadi di Perairan Johor Timur.

Bot tersebut ditahan pada kira-kira jam 3.00 pagi tadi lebih kurang 2.9 batu nautika selatan Teluk Ramunia bersama dua individu dipercayai warga Indonesia berumur 27 dan 29 tahun ketika cubaan memunggah barang-barang milik sebuah Kapal Dagang.

Semasa kejadian, pada awalnya dua buah bot bersama empat individu ditahan. Semasa perjalanan untuk dibawa ke jeti Pos Maritim Pengerang sebuah bot bersama dua individu berjaya meloloskan diri ke perairan Indonesia ketika pihak Maritim Malaysia sedang melakukan pembaikan pada satu bot yang hampir tenggelam. Hasil kerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia iaitu ASINTEL DANLANTAMAL IV dan BAKAMLA, kedua mereka berjaya ditahan di Indonesia pada petang semalam.

Modus Operandi yang digunakan oleh kumpulan ini sama seperti kejadian-kejadian yang lepas seperti umpamanya kes yang berlaku di Pulau Kukup yang menyasarkan kapal-kapal yang bergerak perlahan. Mereka melakukan aktiviti ini secara berkumpulan namun tidak menggunakan senjata. Barang-barang yang biasanya dicuri adalah besi buruk atau apa-apa sahaja barang yang mudah diambil seperti tali dan sebagainya.