fbpx

Buat Keputusan Selepas Berehat – Abd Latif

JOHOR BAHRU: “Saya mahu berehat dan meluangkan masa bersama keluarga terlebih dahulu,” kata bekas EXCO Johor, Datuk Abd Latif Bandi.

Abd Latif, 53, berkata beliau bersyukur selepas Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, melepas dan membebaskannya daripada 37 pertuduhan rasuah serta kes Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) berjumlah lebih RM30 juta, dua tahun lalu.

“Hari ini amat bermakna sekali bagi saya apabila dibebaskan daripada semua pertuduhan rasuah pada bulan Sya’aban.

“Buat masa ini, saya hanya mahu berehat bersama keluarga. Perkara lain, termasuk politik, akan difikirkan kemudian,” katanya yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Johor Bahru, di sini, hari ini.

Mahkamah dalam keputusan sama turut melepas dan membebaskan anak lelaki Abd Latif, Ahmad Fauzan Hatim, 27, serta perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd Raub, 46, daripada semua pertuduhan berkenaan.

Ketika ditanya sama ada beliau akan membuat kemunculan semula dalam bidang politik selepas ini, Abd Latif berkata, beliau akan memikirkan perkara itu secara teliti sebelum membuat keputusan.

“Dua tahun saya bercuti daripada politik kerana kes ini. Tunggulah saya membuat keputusan selepas berehat nanti,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd Zamry, berkata pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah berkenaan.

“Pihak kami akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi Johor Bahru dalam tempoh 14 hari,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Komen Anda?