Bolasepak Adalah Kehidupan

Dulunya semasa kecil, minat aku terhadap bolasepak hanyalah biasa biasa sahaja. Sekadar suka menendang bola dan bermain bersama rakan rakan selepas tamat waktu persekolahan, tidak lebih dari itu. Aku juga suka untuk menonton perlawanan bolasepak kerana menganggap ia “minat”.

Masih ingat lagi waktu itu Zaman Kegemilangan Johor FA. Alistair Edwards dan Ervin Boban merupakan antara tonggak pasukan Johor yang memenangi Piala Malaysia 1991. Tak lupa juga Abbas Saad serta pemain-pemain tempatan Sazali Nasir, Nasaruddin Atan, Roslan Hamid, Sani Osman, Khalid Shahdan, Nasir Yusof, Salehan Mohd Som dan juga Annuar Abu Bakar dan penjaga Gawang masa itu Haskam Miskam.

Photo by Google

Terbaru Kisah Nurkilan tentang Bolasepak dikongsi Farhan Khair melalui aplikasi media sosial facebook beliau. Semoga artikel ini memberi manfaat kepada semua.

“BOLASEPAK ADALAH KEHIDUPAN

Bolasepak menyatu padukan semua. Tidak kira apa topik sekali pun. Sama ada kita semua berbeza minat terhadap kelab bolasepak masing-masing. Sama ada kita punya berbeza prinsip dan pendapat tentang bolasepak. Sama ada kita punya jiwa terhadap bolasepak atau pun tidak. Itu sama sekali tidak menjejaskan apa-apa.

Ada golongan yang tidak pandai bermain bolasepak. Tetapi mereka ambil tahu teori mahupun ilmu tentang bolasepak. Saya punya ramai kawan-kawan dalam golongan ini. Bila berbual, mereka punya segala ilmu bolasepak yang boleh di kongsi. Hujung harinya, pengetahuan bolasepak ini juga yang akan mendatangkan minat kepada bermain bolasepak.

Ada juga golongan yang minat sepenuh hati kepada bolasepak. Mereka ambil tahu, mereka mengikuti perkembangan, mereka sentiasa peka kepada semua perkara bolasepak yang berlaku di sekeliling. Kebaikan tersebut mereka kongsikan di laman media sosial untuk semua. Kadang-kadang golongan ini penting dari segi penyampaian informasi. Perlu di ingatkan, sebarlah informasi yang sahih beserta fakta yang betul supaya sekeliling akan dapat manfaat.

Ada golongan yang menceburi dan mendalami ilmu taktikal bolasepak. Pengajaran taktikal yang golongan ini kongsikan adalah mengikut daripada pendapat individu. Tidak perlu melabel mereka sebagai golongan ‘palatao’. Yang baik kita ambil sebagai ilmu, yang tidak baik mungkin kita boleh rujuk kepada pakar. Saya punya ramai kawan-kawan dalam golongan ini. Secara tidak langsung, mereka juga banyak berkongsi ilmu taktikal kepada semua peminat bolasepak.

Di Johor, peminat dan penyokong telah melalui beberapa fasa. Daripada tidak tahu apa-apa tentang bolasepak, kepada mendatangkan minat terhadap bolasepak, dan menyokong penuh sebuah pasukan bolasepak. Walaupun telah rempuh pelbagai rintangan dan halangan, itu semua telah mendidik peminat dan penyokong di Johor untuk lebih matang dalam konteks menyokong. Secara logiknya, kelab bolasepak Johor Darul Ta’zim, telah banyak menyampaikan ilmu dan juga berjaya mendidik penyokong.

Saya cuit sedikit tentang ‘football banter’ atau bahasa mudahnya adalah ‘football troll’. Kadang-kadang perkara ini perlu di dalam bolasepak. Mungkin sekadar untuk memeriahkan suasana. Tapi biarlah perkara tersebut berasaskan fakta, dan juga ia di utarakan secara profesional. Jika boleh, kita kurangkan lah tindakan makian mahupun bahasa kasar, supaya perkara tersebut tidak di jadikan norma dalam kehidupan. Sebagai orang Johor, kita sedia maklum orang Johor sentiasa berkias dalam perlian. Tunjuk imej orang Johor kepada semua.

Kita sedia maklum bahawa Malaysia bukan sebuah negara yang membawa budaya bolasepak. Tetapi saya percaya, dengan tindakan profesional sebagai penyokong, dengan perkongsian ilmu dan fakta daripada yang mahir tentang bolasepak, kita semua boleh ke arah tersebut.

Hindarilah perkara negatif, teruskan penyebaran positif tentang bolasepak. Bolasepak menyatu padukan semua kerana bolasepak adalah kehidupan kita semua. 😊

Ikhlas,
FK

Luaskan Kuasamu Johor

Komen Anda?