‘Berjuta Rasa’ Iringi Perjalanan Akhir Allahyarham Koperal Safwan

Berjuta rasa’ iringi perjalanan akhir Koperal Safwan

PEMERGIAN Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail, yang maut akibat dirempuh pemandu kenderaan pacuan empat roda di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) pagi semalam, turut memberikan kesan mendalam kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat.

Fadzil adalah individu diamanahkan Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin mengiringi jenazah Safwan sehingga selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Bata, Tanjung Rambutan, Perak, pagi hari ini.

Beliau berkata, pada 5.30 pagi, beliau dan anggota konvoi tiba di Tanjung Rambutan dan disambut pasukan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak sedia menunggu menghulurkan segala bantuan.

“Apabila tiba di tanah perkuburan hati saya mula rasa sarat melihat keluarga dan adik arwah sudah sedia menunggu. Bapa arwah, Sarjan Bersara Muhammad Ismail, (bekas VAT69) turut berada di situ.

“Tuan-tuan dan puan-puan ada anak…saya ada anak. Kita semua ada anak…dan ini anak beliau (bapa Allahyarham Koperal Safwan).

“Semasa van jenazah sampai, beliau minta kebenaran untuk menatap wajah anaknya yang kaku itu,” luahnya.

Fadzil berkata, Muhammad Ismail hanya dapat menunggu di Tanjung Rambutan kerana tidak dapat bersama di Hospital Serdang atas sebab kesihatan.

Katanya, sebagai bekas anggota, beliau amat tertib apabila bercakap dengan pegawai atasan, malah walaupun sakit tetapi digagahkan untuk bercakap sebagai seorang anggota yang meminta izin daripada pegawainya.

“Saya benarkan…menitis air mata saya melihat beliau mengusap wajah jenazah anaknya sambil bertasbih menguatkan semangatnya sendiri…sumpah…memang sebak betul.

“Saya tidak tahu apa perasaan hati beliau semasa saya serahkan Panji Sang Saka Biru. Di bawah panji itulah beliau membesarkan sembilan anaknya dan di bawah panji itu jugalah seorang anaknya dikembalikan semula kepada Allah SWT.

“Saya lihat beliau masih lagi mendakap panji pasukan yang saya sampaikan dengan wajah berjuta rasa, terketar-ketar menahan sebak,” katanya.

Beliau berkata, Allahyarham selamat dikebumikan sewaktu azan Subuh mula dilaungkan.

Katanya, dalam keadaan duduk pada penjarakan sosial, beliau memerhatikan satu persatu wajah bapa, ibu dan lapan adik-beradik arwah yang menceritakan berjuta sayang dan rindu mereka kepada arwah.

“Pemergian arwah ketika menjalankan tugas menjadi satu bukti lakaran kesetiaan tugas polis kepada agama, bangsa dan negara.

“Beliau anggota biasa…tetapi kematiannya luar biasa, ketika ada antara kita sedang lena diulit mimpi bersama keluarga, arwah sedang menjalankan tugas…apa lagi bukti perlu ditunjukkan jika nyawa menjadi galang gantinya?

“Mari kita sedekahkan bacaan al Fatihah buat arwah semoga tenang dan damai di sana dalam pelukan rahmat Allah SWT dan semoga diterima sebagai seorang syuhada,” katanya.

#shahalam إِنَّا للهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعونَ "Saya lihat beliau masih lagi mendakap panji pasukan yang saya…

Posted by Harian Metro on Isnin, 4 Mei 2020

Salam para Pejuang Pejuang Sang Saka Biru..Saya diarahkan oleh YDH KP Selangor utk mengiringi jenazah anggota kita…

Posted by Polis Selangor on Ahad, 3 Mei 2020

ALLAHYARHAM KOPERAL SAFWAN BIN MOHAMAD ISMAIL : GUGURNYA PEJUANG SANG SAKA BIRU