Al-Fatihah, Dugaan Berat Buat Keluarga Di Bulan Syawal

Semoga Allahyarham ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Takziah kepada keluarga beliau.

‎إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعون

Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, semoga arwah di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman..

Al-Fatihah

‎. بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم

‎ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـلَمِين۞ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم۞

‎مَـلِكِ يَوْمِ ٱلدِّين۞إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ۞ ٱهْدِنَا ٱلصِّرَطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ۞صِرَطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ۞ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ ٱلضَّاۤلِّينَ۞امين

Empat maut nahas dua lori, kereta

BERA: Hasrat lima sekeluarga menghadiri kenduri pertunangan di Serting, Negeri Sembilan, bertukar tragedi apabila empat daripadanya maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dengan dua lori di Kilometer 51 Jalan Temerloh-Kemasul di Bera, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.50 tengah hari itu, pemandu kereta Perodua Viva, Nor Amri Mohd Ali, 35, serta penumpang, Siti Rahmah Abidin, 33; Siti Zubaidah Abidin, 40 dan Aqil Ziqri Shah Kamaruzaman, 6, maut di tempat kejadian.

Seorang penumpang kereta, Nor Shuhada Shukri, 29, parah di kepala dan pemandu lori, Norzami Mohd Nor, 39, cedera di kepala.

Keadaan lori dan kereta yang terbabit kemalangan di Jalan Kuari Bukit Mendi-Felda Bukit Mendi di Bera. – Foto BERNAMA

Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Mansor Samsudin, berkata kereta yang datang dari arah Kemasul ke Temerloh itu merempuh sebuah lori yang tiba-tiba terbabas memasuki laluan bertentangan.

“Lori yang terbabas lalu memasuki laluan bertentangan itu melanggar sebuah lori serta sebuah kereta yang dinaiki lima mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, semua mangsa yang meninggal dunia dan cedera dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan jenazah semua mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan FELDA Bukit Puchong selepas proses bedah siasat selesai.

Sumber : Berita Harian


Nasi lemak sambal sotong masakan terakhir

TEMERLOH: Nasi lemak sambal sotong adalah juadah terakhir yang dimasak oleh Siti Zubaidah Abidin, mangsa kemalangan maut sebuah kereta dan dua lori di Kilometer 51 Jalan Temerloh – Kemasul di Bera, hari ini.

Anak saudara Siti Zubaidah, Syakila Isa, 21, berkata ibu saudaranya itu tidak membenarkan orang lain memasak selama dia berada di rumah neneknya di FELDA Bukit Puchong, Bera.

“Malah, dia meminta kami memberitahu juadah apa yang ingin dimakan dan dia sendiri yang akan memasak untuk kami semua.

“Mungkin makcik Siti terlalu gembira kerana dapat berkumpul beramai-ramai, jadi dia masakkan nasi lemak sambal sotong.

“Bagaimanapun, dia tidak menjamah nasi yang dimasak sebab mahu makan selepas pulang daripada kenduri pertunangan di Serting, Negeri Sembilan,” katanya yang ditemui di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 tengah hari itu, anak kepada Siti Zubaidah, Aqil Ziqri Shah Kamaruzaman, 6, dan adik kepada Siti Zubaidah, Siti Rahmah Abidin, 33, dan suami Siti Rahmah, Nor Amri Mohd Ali, 35, meninggal dunia di tempat kejadian manakala adik iparnya, Nor Shuhada Shukri, 29, parah dan mendapat rawatan di HoSHAS di sini.

Syakila berkata, mereka berkumpul di rumah neneknya di FELDA Bukit Puchong, Bera sejak Jumaat lalu bagi meraikan Aidilfitri.

“Sepatutnya ada dua buah kereta akan berkonvoi ke Serting, namun, kereta Perodua Viva yang dinaiki makcik sekeluarga bertolak dahulu.

“Saya bersama ayah, ibu, nenek dan seorang lagi saudara menaiki kereta PROTON Persona dan kami bertolak kira-kira lima minit kemudian.

“Apabila sampai ke tempat kejadian, kami lihat kereta yang dinaiki mereka terperosok di bawah lori. Kami menggigil melihat kejadian itu sehinggakan ayah tak mampu untuk meneruskan perjalanan,” katanya.

Sementara itu, suami Siti Zubaidah, Kamarulzaman Khamis, 45, reda dengan kejadian itu walaupun pada mulanya agak sukar menerima kehilangan isteri serta anak bongsunya itu.

“Ujian ini sangat berat untuk saya terima. Tambahan pula ia berlaku di bulan Syawal. Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap dan keadaan dia seperti biasa,” katanya.

Difahamkan jenazah semua mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan FELDA Bukit Puchong selepas proses bedah siasat selesai.

Sumber : Berita Harian

Facebook Comments