Agong Tinjau Pelaksanaan PKP Waktu Malam

KUALA LUMPUR, 17 April  — Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mencemar duli meninjau sendiri keadaan lalu lintas pada sebelah malam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga di sekitar Kuala Lumpur.

Istana Negara, menerusi laman Instagram, memaklumkan Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa berpuas hati apabila rakyat memberi kerjasama yang baik mematuhi PKP fasa tiga yang dilaksanakan kerajaan bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Turut dimuat naik bersama hantaran itu, video berdurasi 18 saat, yang memaparkan Seri Paduka Baginda menunjukkan isyarat bagus sebagai tanda puas hati dengan sikap pematuhan yang ditunjukkan oleh rakyat.

Selain itu, Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan sokongan atas usaha kerajaan meneruskan PKP fasa tiga ini dan berharap rakyat dapat terus memberi keutamaan kepada penjagaan kesihatan diri dan terus berada di rumah.

Al-Sultan Abdullah turut berdoa semoga penularan wabak ini berjaya ditangani dan diakhiri dengan segera.

Sebelum ini, Seri Paduka Baginda pernah mencemar duli meninjau keadaan di ibu kota pada hari ketiga pelaksanaan PKP fasa satu dengan memandu sendiri kenderaan selain turut berkenan meninjau beberapa lokasi tugasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat sekatan jalan raya.

Fasa pertama PKP bermula 18 hingga 31 Mac diikuti fasa kedua dari 1 hingga 14 April dan fasa ketiga dari 15 hingga 28 April ini.

— BERNAMA

Daulat Tuanku

Reposted from @istana_negara16 April 2020 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan meninjau keadaan…

Posted by House Of Pahang on Khamis, 16 April 2020

Komen Anda?