Ada Cara Angkat Bolasepak

Dua perlawanan Liga Juara AFC dan tiga perlawanan CIMB Liga Super Malaysia telah dijalankan. Pasukan JDT berjaya mengutip mata maksima sebanyak 12 mata. Satu perlawanan dengan kekalahan di Asia, dan satu kemenangan berharga ke atas pasukan gergasi Asia di kandang baru Harimau Selatan. Sembilan mata penuh untuk tiga perlawanan CIMB Liga Super Malaysia, itu bukti peningkatan yang telah ditunjukkan oleh semua yang terlibat di dalam Kelab Bolasepak JDT. Ini semua kenyataan. Ini semua tercatit dalam sejarah.

Kita semua disajikan dengan tajuk utama media yang tidak menyenangkan. Malah ada mulut-mulut yang berbunyi tidak berpuas hati dengan cara permainan pasukan. Muncul pula profesor bolasepak yang melontar pendapat tentang taktikal yang dipamerkan di atas padang. Tidak lupa keluhan penyokong yang kecewa seolah pasukan tidak beraksi seperti biasa. Ini semua adalah virus-virus yang kita perlu elakkan.

Pedulikan negativiti. Tingkatkan positiviti. ‘A win is a win’. Tiga mata berharga tetap kita genggam walau macam mana kurang enak permainan sekalipun.

Tugas penyokong adalah menyokong dengan sepenuh hati. Perasaan amarah itu adalah amalan sayatin. Tidak perlu kita layankan. Harus kita ingat, pemain bolasepak juga adalah manusia yang punya perasaan. Mereka juga tidak terlepas daripada permainan emosi. Kerah keringat mereka diluahkan di atas padang untuk memuaskan semua penyokong. Ingin saya ingatkan kembali, betapa puasnya Diogo Luis Santo menyumbat gol kemenangan malam semalam sampaikan beliau membuka baju meraikan gol tersebut. Beliau tahu membuka baju adalah perkara dilarang di dalam perlawanan. Tetapi kepuasan menyumbat gol itu yang harus kita julang. Itu tanda beliau memberikan semua keringat demi pasukan.

Wahai penyokong sekalian, kita teruskan dengan cara kita, menyokong tidak kira apa keputusan sekalipun. Tidak perlu kita label kita penyokong setia sekiranya kita menghukum sesiapa yang tidak hadir ke perlawanan ‘away’. Tidak perlu kita menghentam pemain yang tidak mempamerkan aksi yang terbaik di atas padang. Tidak perlu kita mengeluarkan kata-kata kesat seolah mereka tidak mencuba untuk bermain sehabis baik.

Kita ambil pengajaran apa yang telah berlaku di zon penyokong pasukan raja malaya. Ingin saya ingatkan, penyokong di Johor masih menyambut mulia mana-mana pemain yang pernah berkhidmat untuk pasukan JDT. Malah penyokong Johor juga masih ambil tahu perkembangan bekas pemain JDT. Kita juga masih mengangkat pemain tersebut seolah mereka masih berkhidmat di tanah Jauhar. Itu yang buat jiwa pemain masih terkurung di Johor Darul Ta’zim.

Teruskan menyokong. Kita tunjuk pada mereka penyokong Johor adalah penyokong profesional. Kita buktikan pada mereka bahawa penyokong Johor sentiasa maju ke hadapan.

Dan terima kasih saya ucapkan bagi semua yang berkorban segala serbi untuk memberikan sokongan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur. Kalian telah tunjukkan apa erti ‘menjiwai bolasepak’.

Sumber : Farhan Khair

Komen Anda?