10 Exco Kerajaan Negeri Johor Angkat Sumpah Di Hadapan Sultan Ibrahim

10 EXCO KERAJAAN NEGERI JOHOR ANGKAT SUMPAH DI HADAPAN SULTAN IBRAHIM

Seramai 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (EXCO) mengangkat sumpah di hadapan DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Istiadat Pelantikan YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan berlangsung di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, Johor Bahru hari ini (22 April).

Pada majlis sama, DYMM Sultan Johor berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Kedua Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) kepada Menteri Besar Johor, Dr. Sahruddin Jamal.

Dato’ Dr. Sahruddin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor Ke-17 pada 14 April lalu.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang mengangkat sumpah ialah Aminolhuda Hassan (Parit Yaani), Dzulkefly Ahmad (Kota Iskandar), Jimmy Puah Wee Tse (Bukit Batu), Dr S Ramakrishnan (Bekok), Mohd Khuzzan Abu Bakar (Semerah).

Turut mengangkat sumpah Sheikh Omar Ali (Paloh), Tan Chen Choon (Jementah), Mohd Solihan Badri (Tenang), Tosrin Jarvanthi (Bukit Permai) dan Liow Cai Tung (Johor Jaya).

Bismillah. Alhamdulillah. Menjunjung setinggi kasih DYMM Tuanku Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim. Daulat Tuanku.

Terima kasih juga atas doa dan sokongan semua. Mohon terus mendoakan saya agar terus dapat menjalankan tugas dan menggalas amanah yang diberikan ini dengan penuh integriti dan baik.

Saya juga ingin mengucapkan Tahniah dan Syabas kepada semua barisan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang baru.

” Muafakat itu Berkat ”

” Kepada Allah berserah ”

” Saya akan terus bekerja dan berkhidmat untuk rakyat ”

Dato’ Dr Sahruddin Jamal

Menteri Besar Johor

Sumber : Dr Sharuddin Jamal

MB Johor dapat Datuk

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Kedua Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) yang membawa gelaran Datuk kepada Menteri Besar Johor, Dr. Sahruddin Jamal di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, Johor Bahru, hari ini.

Pada majlis sama, 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (EXCO) mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor.

Pelantikan barisan EXCO adalah pelantikan semula dan lantikan baru selepas Dr Sahruddin Jamal menjadi Menteri Besar Johor menggantikan Datuk Osman Sapian yang menarik diri daripada jawatan itu pada 14 April lalu.

Barisan EXCO yang mengangkat sumpah adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Aminolhuda Hassan Dzulkefly Ahmad (Kota Iskandar), Jimmy Puah Wee Tse (Bukit Batu), Dr S Ramakrishnan (Bekok), Mohd Khuzzan Abu Bakar (Semerah), Sheikh Umar Bagharib Ali (Paloh) dan Liow Cai Tung (Johor Jaya).

Tiga nama baharu dalam barisan EXCO adalah Tan Chen Choon (Jementah), Mohd Solihan Badri (Tenang) dan Tosrin Jarvanthi (Bukit Permai).

Ini bermakna dua nama EXCO terdahulu digugurkan iaitu Tan Hong Pin (Skudai) dan Mazlan Bujang (Puteri Skudai).

Terdahulu, kenderaan rasmi membawa barisan EXCO mula memasuki perkarangan Istana Bukit Serene sejak 8 pagi termasuk kenderaan yang membawa tiga ADUN yang disebut-sebut dilantik sebagai EXCO.

Dr Sahruddin dilihat tiba di Istana Bukit Serene, 8.40 pagi sebelum Majlis Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan EXCO bermula 9 pagi.

Sumber : Harian Metro