Laman Sesawang : Http://www.satujohor.net        -        Facebook : Http://www.facebook.com/satujohor        -        Email : admin@satujohor.net

 

Kesultanan Johor

Tuanku
DULI YANG MAHA MULIA SULTAN IBRAHIM IBNI ALMARHUM SULTAN ISKANDAR

D.K (JOHOR), D.K (PERAK), D.K (KELANTAN), D.K. (PERLIS), D.K (SELANGOR), D.K (NEGERI SEMBILAN),
D.K (TERENGGANU), D.K.M.B. (BRUNEI), S.P.M.J, S.S.I.J, S.P.M.T, S.M.N, S.P.M.K, S.P.M.P, P.I.S

SULTAN YANG DIPERTUAN BAGI NEGERI DAN JAJAHAN TAKLUK JOHOR DARUL TA’ZIM

Diputerakan pada 22 November 1958 Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim dididik dan diasuh untuk menjadi seorang Raja yang cerdik, berpengetahuan, berwibawa dan berdaulat. Tuanku mengikuti jejak langkah kesultanan sebelum baginda dengan melibat diri dalam aktiviti ketenteraan, pengurusan dan pentadbiran yang dijadikan asas untuk membina semangat juang, disiplin, kepimpinan dan perwatakan. Kepimpinan Tuanku terserlah apabila setelah tamat persekolahan Tuanku dilantik sebagai platun komander ketika menjalani latihan ketenteraan di Pusat Latihan Tentera Darat di Kota Tinggi. Kemudiannya di atas jemputan khas Tuanku mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan untuk pegawai muda di Fort Benning, Georgia USA. Selain dari itu Tuanku juga menjalani latihan ‘airborne‘ dan ‘ranger‘ untuk pegawai infantri. Selepas berehat dua bulan, Tuanku meneruskan latihan ‘American Special Forces‘ dan ‘Pathfinder’ dimana Tuanku telah membuat 19 terjunan payung terjun, lapan darinya pada waktu malam. Tuanku dipilih dan ditauliahkan sayap dan dijadikan sebagai seorang komando. Tuanku juga ditauliahkan sebagai anggota pasukan SEAL (tentera laut dan darat). Selain itu Tuanku melakukan beberapa penerjunan di Bandung Indonesia sebelum ditauliahkan sebagai ahli kehormat Komando Pasukan Khusus (KOPASSUS) Indonesia.

Sekembalinya ke Johor, Tuanku dilantik sebagai Timbalan Pegawai Pemerintah Askar Timbalan Setia Negeri. Dalam masa yang sama Tuanku menjalani latihan juruterbang helikopter dengan Tentera Udara DiRaja Malaysia. Dengan kecekapan yang ditunjukkan Tuanku dibenarkan mengendalikan penerbangan helikopter perseorangan. Dengan kesungguhan dan ketabahan, Tuanku berjaya lulus satu kursus lebih awal dari peserta lain. Tuanku dikurniakan dan menerima sayap pada 26 April 1982 dari Sultan Iskandar dalam satu upacara perbarisan dalam mana Tuanku menjadi ketuanya.

Tuanku juga menyertai selama tiga bulan latihan tentera laut di Pengkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia di Lumut, sekaligus melengkapkan Tuanku sebagai pegawai tentera darat, laut dan udara.

Bagi mengimbangi latihan ketenteraan dan untuk menjadikan Raja yang berwibawa dan dihormati, Tuanku meneruskan pelajaran di Fletcher School of Law and Diplomacy di Boston, Massachusetts USA. Tuanku menyertai dan melengkapi dua kursus, ‘Southeast Asian Strategic Studies’ dan ‘International Laws of the Seas’.

Tuanku berkhidmat dengan Kerajaan Negeri Johor dan ditempatkan di antara lain di Pejabat Setiausaha Kerajaan, Pejabat Perbendaharaan, Pejabat Tanah, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Pertanian untuk mempelajari selok belok pengurusan dan pentadbiran negeri.

Tunku Ibrahim dilantik sebagai Waris apabila Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar menaiki takhta kerajaan Johor dan dimasyurkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981. Mulai 25 April 1984 hingga 25 April 1989 Tunku Mahkota Tunku Ibrahim dilantik sebagai Pemangku Raja semasa Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar diangkat sebagai Yang DiPertuan Agong. Tuanku memanfaatkan tempoh sebagai Pemangku Raja untuk menimba ilmu pengetahuan berkaitan urusan negeri serta berdamping dengan rakyat.

Tunku Mahkota Tunku Ibrahim dimasyurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010 di atas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar.

Tuanku mendirikan rumah tangga dengan Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah dan dikurniakan lima orang putera dan puteri, iaitu:

  1. DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
  2. YAM Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Binti Sultan Ibrahim
  3. YAM Tunku Idris Iskandar Ismail Abdul Rahman Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor
  4. YAM Tunku Abdul Jalil Iskandar Ibrahim Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Laksamana Johor
  5. YAM Tunku Abdul Rahman Hassanal Jeffri Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor
  6. YAM Tunku Abu Bakar Mahmood Iskandar Ibrahim Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor

DYMM Tuanku Sultan Ibrahim mempunyai banyak keistimewaan dan pencapaian yang membanggakan, selain keperibadian yang menawan hati rakyat. Sultan yang berjiwa rakyat ini cukup sinonim dengan Program Kembara Mahkota Johor, aktiviti yang berteraskan kerja sosial yang diilhamkan oleh DYMM Tuanku Sultan Ibrahim sejak 2001 ketika Tuanku menjadi ‘Tunku Mahkota Johor’. Program Kembara Mahkota Johor dengan konvoi motosikal berkuasa tinggi dijadikan acara tahunan yang disertai YAB Menteri Besar dan pegawai-pegawai Kerajaan Negeri, bagi melaksanakan pelbagai projek kebajikan sepanjang laluan konvoi disemua 10 daerah di negeri Johor. DYMM Tuanku Sultan Ibrahim juga turut membabitkan ahli keluarganya, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah dan putera puteri Tuanku menyertai program mesra rakyat ini.

Dalam Kembara Mahkota pertama yang diadakan pada 2 hingga 4 Julai 2001, penjelajahan tiga hari dua malam, diiringi oleh 28 buah motosikal berkuasa tinggi, menyusuri setiap pelosok negeri merangkumi lapan daerah di negeri Johor sejauh kira-kira 870 kilometer. Ekspedisi bermotosikal yang julung kali diadakan itu bertujuan mendekatkan istana dengan rakyat selain mempromosikan industri pelancongan. Lantaran keberkesananya, Tunku Mahkota ketika itu mengumumkan Kembara Mahkota Jelajah Johor, dijadikan acara tahunan dan meletakkan matlamat menjadikannya sebagai program amal bagi membantu golongan kurang bernasib baik.

Tunku Mahkota ketika itu bertitah, Kembara Mahkota Jelajah Johor juga bermatlamat memupuk semangat perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini. Menerusi ekspedisi ini, DYAM Tunku Mahkota dapat melihat kesetiaan pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dan India menyambut ketibaannya di merata tempat. Siri kedua program ini berlangsung selama empat hari dan tiga malam iaitu pada 25 hingga 28 Mac 2002 merentasi tujuh daerah dengan lebih 15 destinasi sejauh 1002 kilometer melalui jalan raya.

Siri ketiga Kembara Mahkota tahun 2003, yang berlangsung selama empat hari tiga malam mulai 8 hingga 11 Mei, meneruskan tumpuan terhadap kerja amal dan kebajikan, antaranya Tunku Mahkota Johor telah menyumbangkan komputer, pakaian dan basikal kepada murid-murid miskin di luar bandar. Melalui Kembara Mahkota, rakyat merasakan bertuah bernaung di bawah institusi istana Johor yang sentiasa memberi perhatian terhadap soal kebajikan, kesejahteraan dan kepentingan pendidikan rakyat. Kembara Mahkota juga memberi faedah besar kepada Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Johor. Para pemimpin negeri dan pegawai-pegawai kerajaan yang mengambil bahagian dalam acara berprestij ini, dapat melihat sendiri dan mengumpul maklumat mengenai aspirasi dan keperluan rakyat secara lebih jelas. Berbekalkan pengalaman yang dilalui dan maklumat yang diperolehi, mereka berupaya melaksanakan dasar-dasar pembangunan yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat yang tinggal di luar bandar.

DYAM Tunku Ibrahim ibni Sultan Iskandar setelah menyelesaikan penjelajahan siri ketiga tahun 2003 sejauh 1,116 kilometer, bertitah:

Saya tidak menjangka sambutan rakyat yang begitu hangat di setiap persinggahan. Saya amat terharu melihat rakyat keluar beramai-ramai menyambut saya serta rombongan. Sesungguhnya saya amat tersentuh dengan sambutan hangat yang telah diberikan oleh rakyat. Pada mulanya saya hanya ingin meneruskan tradisi mulia Ayahanda saya, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor untuk menziarah rakyat jelata di segenap pelusuk negeri. Sambutan luar biasa yang telah diberikan oleh rakyat Johor telah menguatkan azam saya untuk meneruskan program Kembara Mahkota Johor. Program ini menjadi satu acara tahunan yang saya sentiasa nanti-nantikan sebagai salah satu cara untuk saya berdamping rapat dengan rakyat jelata.

Kini, Kembara Mahkota Johor telah pun berlangsung selama empat belas tahun, melalui laluan darat (motosikal, pacuan 4 roda, keretapi dan bas), jalan air (bot dan kapal).

Pada 5 Febuari 2012, DYMM Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar telah bertitah memperkenankan Bandar Muar (Bandar Maharani) menjadi Bandar Diraja ketika Tuanku menghadiri sambutan Maulidur Rasul SAW peringkat negeri Johor di Masjid Sultan Ibrahim, Bandar Maharani, Muar. Terdapat beberapa sebab DYMM Sultan Johor bertitah bahawa Bandar Maharani akan diisytiharkan sebagai Bandar Diraja.

Bandar Maharani adalah bandar kedua terpenting selepas Bandaraya Johor Bahru. Terletaknya Istana Tanjung yang menjadi Istana Persemayaman ketika Tuanku berangkat ke Bandar Maharani. Di Bandar Maharani, semenjak Almarhum Sultan Abu Bakar, diadakan beberapa kali sambutan Hari Keputeraan Sultan dan Istiadat Penganugerahan Bintang Kebesaran. Hubungan istana di Johor Bahru yang begitu rapat dan akrab dengan daerah Muar membawa kepada pengisytiharaan Bandar Muar oleh Almarhum Sultan Abu Bakar pada 12 Ogos 1887 sebagai Bandar Maharani yang bermaksud ‘Bandar Permaisuri Sultan’ merujuk kepada Maharani Fatimah.

Semenjak bandar Muar dibuka pada tahun 1884. Baginda Sultan Abu bakar dan DYMM Sultan-sultan selepasnya sering berangkat ke Muar. Kerabat-kerabat Diraja semenjak pembukaan Muar dilantik mentadbir Muar, antaranya YM Ungku Sulaiman, YM Ungku Abdul Majid, YM Tunku Temenggung Ahmad dan YM Ungku Mohd Khalid. Pemilihan Bandar Maharani sebagai Bandar Diraja kerana Tuanku menggemari suasana bandar yang tenteram dan harmoni. Dalam satu istiadat yang bersejarah, DYMM Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar telah mengisytiharkan Bandar Maharani sebagai Bandar Diraja Johor pada 24 November 2012, sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan DYMM Tuanku pada 22 November 2012.

DYMM Sultan Ibrahim sangat berminat dalam bidang sukan, khususnya polo yang telah membawa baginda menyertai kejohanan sehingga ke peringkat antarabangsa. Turut menjadi kegemaran Tuanku ialah sukan tenis, luncur layar, menembak, memandu dan payung terjun. Tuanku juga telah mencipta sejarah memperolehi Lesen Memandu Kereta Api Kelas 26 setelah menyempurnakan acara pusingan lokomotif seberat 86 tan menggunakan alat ‘turn table’. Tuanku juga telah menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai Sultan pertama memandu kereta api secara rasmi. Majlis penyampaian lesen memandu kereta api ini disempurnakan oleh Dr. Aminuddin Adnan, Presiden Kereta Api Tanah Melayu Bhd (KTMB) pada 29 Jun 2010 di Stesen Kereta Api Gemas.

Sifat-sifat kepimpinan, ketokohan dan keperibadian yang menawan hati rakyat ini telah menjadikan DYMM Tuanku seorang sultan yang amat disenangi dan disayangi oleh seluruh rakyat Negeri Johor.

 

Permaisuri

DULI YANG MAHA MULIA RAJA ZARITH SOFIAH BINTI ALMARHUM SULTAN IDRIS SHAH AL MUTAWAKKIL ALALLAHI SHAH

DK. (Johor), SPMJ. (Johor), SPCM. (Perak)

Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Al Mutawakkil Alallahi Shah diputerikan pada 14 Ogos 1959 di Hospital Batu Gajah, Perak. Tuanku ialah puteri kedua dan anakanda ketiga kepada pasangan diraja D.Y.M.M. Paduka Seri Sultan Perak Almarhum Paduka Seri Sultan Idris al-Mutawakkil Alallahi Shah Ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah Kadasallah dan D.Y.M.M. Raja Perempuan Perak, Almarhum Raja Perempuan Muzwin Binti Almarhum Raja Dato’ Sri Ariff Shah.

DYMM Raja Zarith menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Datin Khadijah Kuala Kangsar hingga darjah enam. Seterusnya, Baginda meneruskan pendidikan menengahnya di Sekolah Jenis Kebangsaan Raja Perempuan Kalsom Kuala Kangsar. September 1972, Tuanku telah melanjutkan pengajiannya di Cheltenham Ladies College di England hingga tamat Tingkatan Enam.

DYMM Raja Zarith Sofiah telah meneruskan pengajiannya di Davies College, London pada tahun 1977. Pada tahun 1978, telah diterima masuk ke Somerville College, Universiti Oxford setelah lulus peperiksaan Oxford dengan mendapat Ijazah Bachelor of Arts pada tahun 1983.

DYMM Raja Zarith Sofiah telah berpeluang membuat lawatan ke beberapa negara bersama Paduka Ayahanda dan Bondanya. Antara negara-negara yang pernah dilawatinya bersama ialah Hong Kong, Taiwan, Jepun, Thailand, Iran, Itali dan England. Selain itu, Raja Zarith juga pernah menunaikan Umrah bersama Paduka Ayahanda dan Bonda serta keluarga pada tahun 1980 serta melawat Turki.

DYMM Raja Zarith Sofiah juga seorang ahli bahasa, Baginda telah mempelajari beberapa bahasa termasuk bahasa Mandarin, bahasa Perancis dan bahasa Itali. Semasa belajar di Universiti Oxford, Baginda telah memilih bahasa Mandarin sebagai mata pelajaran ijazahnya.

DYMM Raja Zarith Sofiah memiliki bakat seni lukis daripada ayahandanya. Lukisan-lukisan yang dihasilkan pernah beberapa kali menjadi hiasan buku-buku cenderamata. Sikapnya peramah dan berjiwa rakyat. Tuanku sentiasa menyedari serta menghargai segala pengorbanan anggota-anggota pasukan keselamatan yang mempertahankan kedaulatan Negara, lalu menjadikan Tuanku Raja Zarith Sofiah seorang permaisuri yang disenangi dan disanjungi, khasnya oleh warga Johor.

Pada bulan Mac 1983, Paduka Ayahanda DYMM Sultan Perak telah berkenan menganugerahkan darjah kebesaran ‘Seri Paduka Cura Si Manja Kini’ (S.P.C.M.) kepada Yang Amat Mulia Raja Zarith Sofiah.

Tuanku Zarith Sofiah mendirikan rumah tangga bersama DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang ketika itu Tunku Mahkota Johor. Majlis akad nikah berlangsung di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar pada 22 September 1982. Manakala Majlis Persandingan berlangsung di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Perak pada 12 September 1983 dan Majlis Persandingan di Johor Bahru pada 19-20 September 1983. Ketika melangsungkan perkahwinan, umur Baginda 23 tahun. Hasil perkahwinan itu, pasangan diraja ini dikurniakan 6 orang cahaya mata, 5 orang putera dan seorang puteri. Anakanda sulung Baginda, Tunku Ismail kini bergelar Tunku Mahkota Johor. Anakanda Baginda yang lain ialah Tunku Aminah, Tunku Idris, Tunku Abdul Jalil, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar.

Sepanjang berkahwin dengan DYMM Sultan Ibrahim, Baginda dikurniakan gelaran Yang Amat Mulia Isteri Tunku Mahkota Johor Raja Zarith Sofiah. Setelah kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail pada Januari 2010, Tunku Mahkota telah dimashurkan sebagai Sultan Johor dengan gelaran DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, manakala Tuanku Zarith Sofiah memakai gelaran DYMM Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah.

Tuanku Zarith Sofiah merupakan Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selain Fellow Fakulti Pengajian Bahasa dan Linguistik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Antara penglibatan Baginda dalam aktiviti kemasyarakatan ialah bertindak selaku Penaung Persatuan Cerebral Palsy Johor, Persatuan Pengajaran Bahasa Inggeris Malaysia dan juga Penasihat DiRaja Bulan Sabit Merah Malaysia. Pada 28 November 2012, Baginda berkenan melancarkan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor. Yayasan ini ditubuhkan bertujuan untuk mengutip dana untuk mengadakan pelbagai program pelajaran. Yayasan ini juga bertujuan untuk menyebarkan cara pembelajaran secara Islam. Tuanku Zarith Sofiah banyak mengadakan forum dan kerjasama dengan pakar-pakar dari luar negera untuk membincangkan hala tuju pendidikan negara.

Titah diraja yang pernah disampaikan oleh Tuanku adalah “Voices of Peace, Conscience and Reason (PCORE) Forum” pada tahun 2010 dan “Unity & Multiculturalism : Building A Future Together (PCORE) Forum” pada tahun 2013. DYMM Raja Zarith Sofiah juga telah menyampaikan titah diraja / ucaptama di majlis ‘3rd Sultan Qaboos Award for Voluntary Work’ pada 5 Disember 2013 di Muscat, Oman setelah berkenan menerima jemputan Kerajaan Oman menerusi Kementerian Pembangunan Sosial negara tersebut, selain dari sesi di Somerville College, University of Oxford, yang bertajuk “We Are Like You: What Malaysian Muslims Have In Common With Other Communities Around the World.” pada bulan Februari 2012. Tuanku juga telah berkenan untuk turut berangkat ke Ditchley Roundtable Conference yang telah dianjurkan oleh Oxford Centre of Islamic Studies (OCIS) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada bulan Mei 2012.

Sesungguhnya peranan Baginda dalam memantapkan sistem pembelajaran di Malaysia amatlah besar. Selain itu, Baginda juga aktif dalam bidang penulisan. Hasil tulisan Baginda termasuklah buku cerita kanak-kanak dan juga tulisan di ruangan akhbar harian berbahasa Inggeris ‘Mind Matters’. Buku ‘On Common Ground’ yang memuatkan seleksi 80 hasil tulisan Baginda di ruangan On Common Ground dan Mind Matters di akhbar New Straits Times dan The Sunday Star dari tahun 2002 ke tahun 2012 telah diterbitkan pada Oktober 2013.

 
TMJ

DULI  YANG AMAT MULIA TUNKU ISMAIL IBNI SULTAN IBRAHIM

D.K., S.P.M.J, S.S.I.J, P.I.S

TUNKU MAHKOTA JOHOR

Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim diputerakan pada 30 Jun 1984 di Johor Bahru dan merupakan putera sulung Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim dan Dul Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah daripada enam orang adik-beradik.

Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail mendapat pendidikan awal persekolahan di Sekolah Sri Utama Johor Bahru dan di Sekolah Rendah Kebangsaan St. Joseph, Johor Bahru dan seterusnya melanjutkan persekolahan di Australian International School Singapore. Pada tahun 1999, Duli Yang Amat Mulia Tunku melanjutkan pelajaran di Hale School, Perth, Australia sehingga akhir tahun 2002.

Antara sukan kegemaran Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail ialah polo dan bola sepak. Kecemerlangan Duli Yang Amat Mulia Tunku dalam sukan polo amat terserlah. Kehebatan Duli Yang Amat Mulia berkuda terbukti jelas apabila Duli Yang Amat Mulia Tunku dianugerahi ‘Best In Riding‘ di Dehra Dun, India yang selanjutnya mengangkat kecemerlangan kepada ‘Indian Military Academy‘ (I.M.A). Kini DYAM Tunku Mahkota Johor bergiat aktif dalam bidang bola sepak. Selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor sejak 16 Februari 2012, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail telah membangun, menerajui dan mengangkat pasukan bola sepak Johor ke tahap berprestasi tinggi dan disegani. Kecemerlangan Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail dalam bidang bola sepak semakin menyerlah apabila dilantik sebagai Penasihat kepada Presiden FAM pada 3 Oktober 2014.

Sebagai bakal Raja, pendidikan dan disiplin yang tinggi amat dititikberatkan kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail. Dengan titah perkenan Seri Paduka nendanya Almarhum Sultan Iskandar, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail telah menjalani latihan ketenteraan sebagai Pegawai Kadet di ‘Indian Military Academy‘ (I.M.A), Dehra Dun, India pada 17 Julai 2003 hingga 11 Disember 2004 dan telah ditauliahkan pangkat Leftenan dalam upacara tamat latihan. Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail ditempatkan di Unit 61 Cavalry Tentera Darat India, Jaipur, India selama dua tahun mulai 15 Disember 2004 hingga 14 Disember 2006.

Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail telah menempa sejarah apabila menjadi rakyat asing pertama menyertai rejimen berkuda tentera India memberi tabik hormat kepada Presiden India, A.P.J. Abdul Karim sempena sambutan Hari Kebangsaan India ke-58 pada 20 Januari 2007. Majlis ini dihadiri ramai tetamu kenamaan termasuk Presiden Russia, Vladamir Putin. Pada 14 Julai hingga 23 September 2008, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail telah melaksanakan Kursus Kepakaran Gerak Khas di Kem Iskandar, Mersing dan pada 9 Oktober hingga 19 November 2008 mengikuti Kursus Asas Payung Terjun di Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULAPAK). Pada 1 Ogos 2010, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail dianugerahi Beret Hijau Kehormat Grup Gerak Khas (GGK) atas kepimpinan dan sumbangan fikiran dalam mempertingkatkan keupayaan GGK.

Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail telah dikurniai Almarhum Sultan Iskandar Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Ketiga, Setia Mahkota Johor (S.M.J), Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama, Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor (S.P.M.J), Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Kedua (D.K II) dan Pangkat Pertama (D.K I). Bermula zaman pemerintahan paduka ayahandanya, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail telah dikurniai Darjah Sultan Ismail Johor Yang Amat Diberkati Pangkat Pertama, Dato’ Sri Setia Sultan Ismail (S.S.I.J) dan Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Pertama (P.I.S I).

Pada 30 Jun 2005 Almarhum Sultan Iskandar telah melantik Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail sebagai Waris Kedua Takhta Kerajaan Johor selepas Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor waktu itu. Pada 8 April 2006, Duli Yang Amat Mulia Tunku telah dimasyurkan sebagai Raja Muda Johor dan seterusnya menggunakan gelaran rasmi Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail, Raja Muda Johor. Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail telah dilantik dan dimasyurkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada hari Khamis 28 Januari 2010 bersamaan 12 Safar 1431 Hijrah.

Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail pernah dilantik sebagai pemangku Raja Johor, kali terakhir pada 29 September 2012. Selaku Pemangku Raja Johor, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail telah meraih ilmu dan pengalaman memerintah negeri dan sekali gus memantau dan melihat sendiri hal dan keadaan rakyat negeri Johor. Begitu juga penyertaan Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail dalam siri program Kembara Mahkota Johor (KMJ) telah memberi peluang keemasan Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail bertemu dan bersera serta menjalin hubungan silaturahim dengan rakyat negeri Johor.

Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail telah mendirikan rumahtangga dengan Cik Khaleeda Binti Bustamam pada hari Jumaat, 24 Oktober 2014.

 

che-khaleeda-binti-bustamam

YANG MULIA CHE’ PUAN KHALEEDA BINTI BUSTAMAM

S.P.M.J

YM Che’ Puan Khaleeda yang dilahirkan pada 16 Julai 1993 di Hospital Besar Kuala Lumpur merupakan anakanda yang kelima pasangan ayahanda Bustamam Bin Daud dan bonda Aziyah Binti Abdul Aziz. YM Che’ Puan Khaleeda adalah anak bongsu daripada lima orang adik-beradik iaitu dua orang perempuan dan dua orang lelaki.

YM Che’ Puan Khaleeda menerima asuhan pelajaran awalan di Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Seri Gombak Selangor pada tahun 2001 hingga 2003. Semasa kecil lagi perwatakan, kecergasan dan kecenderungan beliau telah terserlah dengan perlantikannya sebagai seorang pengawas di sekolah tersebut. YM Che’ Puan Khaleeda mengambil bahagian aktif dalam sukan khasnya sukan larian. Kecenderungannya dalam aktiviti tarian membolehkan YM Che’ Puan Khaleeda mewakili sekolahnya dalam seni tari.

Ketika ibunya berkhidmat di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom di Jabatan Penuntut Malaysia UK dan Eire, YM Che’ Puan Khaleeda meneruskan pendidikan awalnya di Sekolah St. George’s Hanover Square, London dari Disember 2003 hingga Julai 2004. Setelah tamat pendidikan peringkat rendah, YM Che’ Puan Khaleeda melanjutkan persekolahan menengahnya di Westminster Academy London dari September 2004 hingga Julai 2008. Di sekolah itulah kecenderungannya YM Che’ Puan Khaleeda dalam bidang sukan olahraga diteruskan disamping penglibatannya dalam seni muzik khasnya ‘drums‘ dan ‘keyboard‘. Selain itu, YM Che’ Puan Khaleeda turut membantu bahagian perpustakaan sekolah dalam pemprosesan buku-buku dan terbitan terbaru.

Sekembalinya ke tanah air pada Januari 2009, YM Che’ Puan Khaleeda menyambung pelajarannya di Sekolah Sri Utama Kuala Lumpur sehingga lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada Disember 2010. Kecendurangannya dalam bidang sukan tidak berkurangan dan diteruskan semasa di sekolah tersebut.

Berkat pendidikan dan pergaulan dalam dan luar negeri, YM Che’ Puan Khaleeda fasih bertutur dalam bahasa Melayu dan Inggeris serta sedikit sebanyak bahasa Sepanyol, semuanya menambah kepada perwatakan YM Che’ Puan Khaleeda yang sedia kala peramah.

Antara kecenderungan YM Che’ Puan Khaleeda ialah membaca untuk menambah pengetahuan. Untuk aktiviti riadah, YM Che’ Puan Khaleeda menyertai sukan bola sepak, badminton, bola jaring dan bowling. Sebagai seorang remaja, YM Che’ Puan Khaleeda  tidak ketinggalan menggemari dunia fesyen dan mengikuti perkembangan muzik terkini. YM Che’ Puan Khaleeda amat gemar kepada haiwan kesayangan khasnya kucing bersesuaian dengan perwatakan lemah-lembutnya dan wajah yang sentiasa ceria.

YM Che’ Puan Khaleeda Binti Bustamam telah mendirikan rumahtangga dengan Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail, Tunku Mahkota Johor  pada hari Jumaat, 24 Oktober 2014. YM Che’ Puan Khaleeda telah dikurniakan Darjah Pangkat Pertama Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor (S.P.M.J) pada 15 Mac 2015 oleh DYMM Sultan Johor.

Info Dari http://kemahkotaan.johor.gov.my/
0.00 avg. rating (0% score) - 0 votes